Pages

Wednesday, August 31, 2016

Kereta ‘buruk’ cecah harga RM3.1 juta




31 Ogos 2016 12:36 AM





KERETA vintaj Aston Martin DB4 akan dilelong pada harga 180,000 pound (RM952,811) dalam satu lelongan di sini. - AGENSI

LONDON 30 Ogos – Sebuah kereta vintaj Aston Martin yang hanya layak dibuang, mampu mencecah harga 600,000 pound (RM3.1 juta) selepas diperbaharui semula.
Mail Online melaporkan, kereta klasik Aston Martin DB4 siri 1 buatan 1959 itu yang sebelum ini ‘hilang’ selama tiga dekad kini dijual pada harga 180,000 pound (RM952,811) dalam satu jualan lelong di sini.
Kereta itu merupakan unit ke-78 daripada 149 buah yang pernah dihasilkan antara 1958 dan 1963.
Bagaimanapun seperti kende­raan vintaj lain, kereta itu telah lama terbiar dengan tayar hadapan, tempat duduk dan malah enjinnya sudah dileraikan.
Pemilik asal kenderaan vintaj itu membeli kereta berkenaan pada 1986 tidak lama selepas kenderaan tersebut dipasang dengan enjin baharu dan dia merancang untuk mengembalikan zaman kegemilangan Aston Martin di jalan raya.
Bagaimanapun, selepas berpindah ke luar negara, pemiliknya menyimpan kenderaan itu bagi tempoh yang lama di garaj.
Firma lelongan Bonhams yang menjual kereta itu semasa jualan pada Sabtu lalu berkata, kende­raan kapsul masa itu menawarkan peluang unik kepada pemiliknya untuk mengubah suai kereta klasik berkenaan kepada tahap terbaik.
Menurut pakar, kereta itu yang mempunyai enjin enam silinder berkapasiti 3.7 liter, mampu mencapai kelajuan 225 kilometer sejam dan dianggap sebagai satu karya kejuruteraan Britain.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kereta-8216-buruk-8217-cecah-harga-rm3-1-juta-1.376751#sthash.4aypsvKn.dpuf

Sunday, August 28, 2016

Imam wanita mahu cabar lelaki




SALIHA (kiri) yang menjadi imam solat Jumaat dan Sherin yang bertindak jadi bilal.

Agensi
Copenhagen: Sebuah masjid pertama yang diketuai wanita dibuka secara rasmi di sini dengan mengadakan solat Jumaat yang diimamkan oleh wanita.

Lebih 60 wanita memenuhi Masjid Mariam di tengah bandar ibu negara Denmark ini untuk menunaikan solat berkenaan yang diimamkan oleh Saliha Marie Fetteh sementara Sherin Khankan menjadi bilal.

Selain menjadi imam, Saliha juga membaca khutbah bertema ‘Wanita dan Islam dalam dunia moden.’

Menurut laporan, sebahagian mereka yang hadir ialah peganut agama lain atau tidak ada agama.

Masjid itu dibuka secara tidak rasmi Februari lalu dan ia mengambil masa enam bulan untuk melakukan persiapan sebelum solat Jumaat pertama dapat diadakan.

Bagaimanapun, sepanjang beberapa bulan lalu, lima perkahwinan sudah dilangsungkan di masjid itu dan tiga lagi dalam senarai menunggu - termasuk beberapa perkahwinan antara penganut agama berbeza.

Masjid itu dikatakan merangka piagam perkahwinannya sendiri berdasarkan empat prinsip penting - poligami bukan pilihan, wanita berhak untuk menceraikan suami, perkahwinan akan terbatal jika berlaku keganasan psikologi atau fizikal dan jika berlaku perceraian, wanita mempunyai hak yang sama terhadap anak.

Sherin yang berasal dari keluarga pelarian Syria - bapa Islam, ibu Kristian - berkata, masjid itu berhasrat mencabar penguasaan kaum lelaki dalam Islam dan mengaku mendapat tentangan daripada anggota keluarga dan rakan mengenai hasratnya menjadi imam.

Dia tidak menutup kepalanya kecuali ketika sembahyang dan itu katanya, adalah fahamannya mengenai ajaran Islam. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 5:06 AM

Jumpa ketulan emas bernilai AS$250,000


EMAS seberat 4.1 kilogram ini dijumpai seorang lelaki di kawasan Golden Triangle di Victoria, barat laut Melbourne, Australia. - AGENSI


VICTORIA, Australia – Seorang pencari harta karun yang memiliki hobi meredah hutan sejak sedekad lalu tidak menyangka menemui ketulan emas seberat 4.1 kilogram dan bakal dijual pada harga AS$250,000 (RM1 juta) baru-baru ini.
Lelaki tersebut pada awalnya menyangka dia terjumpa ladam kuda semasa menemui emas yang digelar sebagai Friday Joy dan mempunyai saiz kira-kira 30 sentimeter di kawasan Golden Triangle di Victoria, barat laut Melbourne.
“Ketika saya mula menanggalkan tanah liat dan menggali dengan lebih dalam, saya tidak percaya dengan apa yang saya lihat, ia bukan ketulan logam lama di hadapan saya.
“Saya sangat tidak percaya kerana tidak berfikir emas sebesar ini masih wujud,” katanya kepada akhbar Herald Sun.
Emas itu kini disimpan di dalam bilik kebal sebuah bank dan satu replika akan dicipta untuk tujuan lelongan kepada pembida tertinggi tidak lama lagi.
Lelaki yang enggan dikenali itu berkata, dia mendapat motivasi untuk melakukan pencarian di kawasan itu selepas menemui seketul emas sebesar bola tenis seberat 200 gram sehari sebelum menjumpai ketulan emas yang bernilai lebih AS$250,000 tersebut. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0827&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz4IcCqSVvV 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, August 24, 2016

Athens benar bina masjid


24 OGOS 2016

Athens benar bina masjid


Athens benar bina masjid Masjid Tzistarakis di tengah Athens adalah satu daripada masjid rasmi terakhir yang digunakan ketika pemerintahan empayar Uthmaniyyah
ATHENS - GREECE. Masjid rasmi pertama akan didirikan di ibu negara Greece, sekali gus menamatkan larangan selama hampir 200 tahun yang menghalang sebarang tempat ibadah orang Islam dibina di negara itu.

Khabar gembira buat masyarakat Islam itu diumumkan selepas kerajaan meluluskan rang undang-undang untuk mempercepatkan rancangan pembinaan masjid di kawasan kejiranan Votanikos di Athens.

Datuk Bandar,  Giorgos Kaminis menyifatkan rang undang-undang baharu itu sebagai satu langkah tegas berkaitan menghormati hak kebebasan agama.

Bagaimanapun, beberapa penduduk Islam mendakwa lokasi masjid tersebut yang terletak di zon perindustrian terpencil dan gudang terbiar adalah tidak sesuai.

"Masjid rasmi lebih sesuai didirikan berhampiran atau di pusat bandar," kata Presiden Persatuan Orang Islam Greece, Naim Elghandour.      

Difahamkan, tiada masjid baharu dibangunkan sejak pemerintahan Empayar Uthmaniyyah berakhir di Greece pada 1829.

Di Athens, kira-kira 200,000 orang Islam menggunakan 100 masjid tidak rasmi seperti di dalam garaj atau bilik bawah tanah yang diubah suai untuk solat berjemaah dan menjalankan aktiviti keagamaan. - Press TV

Tuesday, August 23, 2016

Nelayan jumpa mutiara paling besar di dunia

Mutiara gergasi dijumpai seorang nelayan miskin di Filipina dianggarkan

Mutiara gergasi dijumpai seorang nelayan miskin di Filipina dianggarkan bernilai RM402 juta. Agensi
MANILA 23 Ogos – Siapa sangka sebutir mutiara yang dianggap tidak lebih daripada pembawa tuah oleh seorang nelayan miskin sebenarnya bukan sahaja terbesar di dunia malah nilainya juga mencecah lebih AS$100 juta dolar (RM402 juta).
Malangnya, nelayan tersebut yang berasal dari Kepulauan Pa­lawan, Filipina tidak menyedari tuah mutiara gergasi itu sebaliknya hanya meletakkannya di bawah bantal selama lebih 10 tahun.
Daily Mail melaporkan, nilai mutiara tersebut hanya diketahui selepas nelayan yang tidak dikenali itu membawa objek terbabit kepada kepada pihak berkuasa untuk diperiksa, baru-baru ini.
Dengan berat 34 kilogram, mutiara itu dianggap paling besar yang pernah ditemui oleh manusia setakat ini.
Menariknya, permata jenis sama pernah direkod sebelum ini iaitu Mutiara Lao Tze de­ngan berat 6.4 kilogram dan bernilai AS$35 juta (RM141 juta) turut dijumpai di perairan Pa­lawan pada tahun 1939 oleh seorang penyelam Amerika Syarikat.
Menurut pegawai pelanco­ngan, Aileen Cynthia, nelayan tersebut tidak menyangka mutiara itu bukan sahaja bernilai jutaan dolar, malah penemuan ber­kenaan merupakan sejarah yang bakal melonjakkan sektor pelancongan Filipina.
“Dia tidak tahu sebarang maklumat mahu pun nilai mutiara itu. Apabila dia membawa mutiara tersebut kepada kami, kami sangat terkejut.
“Dia menjumpai mutiara itu dalam cengkerang gergasi kira-kira 10 tahun lepas,” kata Cynthia.
Jelas beliau, pihaknya telah menghantar mutiara itu kepada pakar antarabangsa untuk diperiksa bagi mengetahui nilai sebenarnya.
“Jika andaian kami benar, kami akan mencipta sejarah sekali lagi,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/nelayan-jumpa-mutiara-paling-besar-di-dunia-1.374076#sthash.f00IytPU.dpuf

Monday, August 22, 2016

Menantu, ibu mentua gatal, kini kesal




ASHA (kiri) dan Suraj.

Agensi
New Delhi: Seorang lelaki yang jatuh cinta dengan ibu mentuanya dan berakhir dengan mengahwini wanita itu kini menyesal dan mahu bercerai.

Suraj Mahto, 22, menjadi tajuk akhbar Jun lalu apabila dia meninggalkan isterinya, Lalita dan berkahwin dengan ibunya berusia 42 tahun, Asha Devi.

Hubungan menantu-ibu mentua itu bermula apabila Asha tinggal bersama anak dan menantunya di Puraini, sebuah kampung di negeri Bihar.

Dia menjaga Suraj yang sakit ketika itu dan sejak itu mereka jatuh cinta.

Apabila kembali ke rumahnya, mereka menghabiskan masa berjam-jam berbual menerusi telefon.

Lalita mengetahui hubungan itu dan meminta ibunya memutuskan hubungan, tetapi dia enggan.

Bapa Lalita, pekerja kilang di Delhi, juga tidak berjaya menghentikan hubungan itu.

Pasangan itu, walaupun mendapat bantahan penduduk kampung, akhirnya melarikan diri dan berkahwin 1 Jun lalu.

Dua bulan berikutnya, pasangan itu menyedari kesilapan mereka.

Media tempatan melaporkan Suraj berkata: “Saya sedar kesilapan yang dilakukan dan berjanji tidak akan mengulanginya. Saya tidak lagi anggap Asha isteri saya. Saya sudah mula menghormatinya sebagai ibu mentua.”

Menurutnya, dia akan bersujud di depan Lalita, meminta maaf dan menerimanya kembali. Mereka mempunyai seorang anak lelaki.

Asha juga dikatakan menyesal dan berkata, mereka sudah memfailkan tuntutan cerai.

“Saya mahu kembali kepada bekas suami saya secepat mungkin,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 5:03 AM

Kayuh basikal dari China menuju Mekah

MOHAMMED berehat sebentar di sebuah kawasan lapang sebelum menyambung


MOHAMMED berehat sebentar di sebuah kawasan lapang sebelum menyambung perjalanannya ke Mekah dengan menunggang basikal. AGENSI


BEIJING 22 Ogos - Seorang penduduk tempatan sanggup berbasikal hampir empat bulan, bermula dari bandar Xinjiang ke Arab Saudi untuk merealisasikan hasratnya menunaikan haji di tanah suci Mekah.
Lelaki tersebut yang dikenali sebagai Mohammed, memulakan kayuhan dari rumahnya di barat laut China dan menempuh perjalanan sejauh 8,159 kilometer sebelum tiba di bandar Taif di Arab Saudi beberapa hari lalu.
Menurut portal berita Sabq, Mohammed menerima sambutan khas daripada ahli-ahli Kelab Berbasikal Taif dan mereka turut mengiringinya menyambung perjalanan sehingga ke Mekah.
“Kami merupakan ahli kelab berbasikal pertama di Arab Saudi yang hadir menyambut Mohammed yang juga jemaah haji dari China ini.
“Kami berharap kelab berbasikal yang lain dapat membantunya dan memperkenalkannya ke beberapa bandar lain di sini,” kata Ketua Kelab Berbasikal Taif, Nayef Al Rawas.
Sabtu lalu, Jabatan Hal Eh­wal Agama China (SARA) me­ngumumkan, sebanyak 14,500 jemaah dari negara itu akan mengerjakan haji tahun ini menerusi 37 penerba­ngan khas.
Agensi berita Xinhua me­laporkan, sehingga kini, seramai 11,000 jemaah haji dari negara tembok besar ini telah berada di Mekah.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kayuh-basikal-dari-china-menuju-mekah-1.373567#sthash.npITDW0W.dpuf