Pages

Friday, May 24, 2013

Gempa bumi 8.2 skala Richter di pantai timur Rusia


MOSCOW 24 Mei - Satu gempa bumi berukuran 8.2 pada skala Richter melanda perairan pantai timur Rusia, hari ini.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa itu berlaku pada kedalaman 620 kilometer di Laut Okhostok dan 390 kilometer dari barat berhampiran bandar Petropavlovsk-Kamchatsky.
Gegaran itu turut dirasai di Petropavlovsk-Kamchatsky, bandar utama di Semenanjung Kamchatka dan pangkalan utama kapal selam nuklear di Pulau Sakhalin.
Sementara itu, pihak berkuasa mengeluarkan amaran akan berlaku Tsunami di Sakhlalin dan Pulau Kurile serta menasihati penduduk untuk berpindah dari kawasan merbahaya tetapi menarik balik amaran berkenaan beberapa minit kemudian. - REUTERS


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130524/lu_10/Gempa-bumi-82-skala-Richter-di-pantai-timur-Rusia#ixzz2UMBQVrwu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gumpalan bulu dikeluarkan daripada perut harimau


GAMBAR yang disiarkan oleh pusat Veterinar BluePearl menunjukkan gumpalan bulu seberat 1.8 kilogram yang dikeluarkan dari dalam perut Ty kelmarin.


CLEARWATER - Seekor harimau jantan seberat 180 kilogram di Amerika Syarikat terpaksa dibedah bagi mengeluarkan gumpalan bulu sebesar sebiji bola keranjang.
Harimau berusia 17 tahun bernama Ty itu menyisir dengan menjilat bulunya. Haiwan itu tertelan bulu tersebut sejak sekian lama.
Ty menjalani pembedahan tersebut di sebuah pusat veterinar di sini, dalam negeri Florida.
Beberapa doktor berkata, mereka berjaya mengeluarkan gumpalan bulu seberat 1.8 kg itu dari dalam perut Ty.
Dipelihara oleh agensi Penyelamat dan Pemulihan Hidupan Liar, Ty memerlukan pembedahan selepas binatang buas itu tidak makan selama hampir dua minggu.
Doktor-doktor mengesan kehadiran gumpalan bulu itu menggunakan skop dan kamera.
Ty kini beransur pulih selepas menjalani pembedahan tersebut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2UABvw7Jf 
Hakcipta terpelihara 

Pendaki Jepun, manusia tertua takluki Gunung Everest



GAMBAR yang dirakam kelmarin menunjukkan Yuichiro Miura (kanan) dan anak lelakinya, Gota sebelum mereka memulakan pendakian ke puncak Everest.


KATMANDU, Nepal - Seorang pendaki gunung berusia 80 tahun dari Jepun menjadi manusia tertua sampai ke puncak Gunung Everest semalam.
Menurut seorang pegawai agensi pendakian Nepal, Yuichiro Miura tiba di puncak gunung tertinggi di dunia itu pada pukul 9.05 pagi waktu tempatan.
"Saya berjaya!" kata Miura melalui telefon kepada agensi penyiaran Jepun, NHK semasa berada di puncak Everest.
"Saya tidak pernah menyangka dapat menakluki gunung ini pada usia 80 tahun," tambahnya.
Dia mendaki bumbung dunia itu dengan dibantu oleh anak lelakinya dan beberapa penunjuk arah tempatan.
Rekod kategori tersebut sebelum ini dipegang oleh warga Nepal, Min Bahadur Sherchan yang menakluki puncak Everest ketika berusia 76 tahun pada 2008.
Rekod Miura juga dijangka tidak akan bertahan lama kerana Sherchan, 81, akan memulakan pendakiannya ke puncak Everest dari bes kem pada minggu depan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2UABbpwDH 
Hakcipta terpelihara 

Gaji CEO di Amerika AS$9.7 juta setahun


KETUA Pegawai Eksekutif CBS Corp, Leslie Moonves (kiri) dan isterinya, Julie Chen tiba di majlis makan malam media di White House, Washington DC pada 27 April lalu.


NEW YORK - Pendapatan median Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Amerika Syarikat (AS) semakin meningkat sejak tiga tahun yang lalu.
Gaji median seseorang CEO di AS pada 2012 adalah sebanyak AS$9.7 juta (RM29.5 juta) setahun, meningkat 6.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurut data firma penyelidikan Equilar yang diperoleh agensi berita Associated Press (AS), kenaikan itu antara lain disebabkan oleh peningkatan dalam pasaran saham.
Median adalah nilai pertengahan dengan separuh CEO dalam kumpulan tersebut menerima bayaran lebih tinggi atau lebih rendah.
CEO CBS Corp., Leslie Moonves, memperoleh gaji tahunan tertinggi iaitu sebanyak AS$60.3 juta (RM183.6 juta), diikuti CEO Discovery Communication, David Zaslav di tempat kedua dengan bayaran AS$49.9 juta (RM152 juta).
Pada tahun keempat berturut-turut sejak lima tahun lalu, CEO sektor penjagaan kesihatan menerima gaji median tertinggi sebanyak AS$11.1 juta (RM33.7 juta). Sementara CEO sektor utiliti menerima gaji terendah cuma AS$7.5 juta (RM22.7 juta).
Laporan Equilar turut menyebut bahawa gaji median CEO wanita lebih tinggi daripada CEO lelaki di AS iaitu sebanyak AS$11.2 juta (RM34 juta) berbanding AS$9.6 juta (RM29.1 juta).
CEO Syarikat Mondelez International, Irene Rosenfeld memperoleh gaji CEO wanita tertinggi iaitu mencecah AS$22 juta (RM66.8 juta) pada tahun lalu. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2UAAwvZOk 
Hakcipta terpelihara